Ucapan Pengetua

 Salam sejahtera dan salam perpaduan...

Selamat Datang ke Website Rasmi St.John’s Institution Kuala Lumpur kepada pengunjung laman maya sekalian.

Laman web SJI merupakan satu wadah penting pihak sekolah memanfaatkan ICT dalam usaha memperkenalkan SJI kepada dunia luar. Kewujudan website membolehkan maklumat disebarkan secara cepat melalui saluran maya dan sampai kepada khalayak. Website memuat naik pelbagai informasi mengenai sekolah dalam mempromosikan info-info sekolah kepada para ibu bapa khususnya dan masyarakat awam secara umumnya. Pelbagai maklumat boleh diperolehi dengan mudah secara atas talian apabila diperlukan.

St.John’s Institution merupakan salah sebuah sekolah yang berprestij antara yang tertua di Malaysia yang ditubuhkan sejak tahun 1904 dan telah banyak menyumbang jasanya kepada negara. SJI telah banyak melahirkan tokoh-tokoh kepimpinan negara, pakar ekonomi, tokoh-tokoh korporat, ahli sukan negara, selebriti dan sebagainya. Antaranya ialah Sultan Nazrin Syah (Sultan Perak), bekas Gabenor Bank Negara , Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Ketua Juru Audit Negara, Tan Sri Ambrin bin Buang,  Datuk Seri Najib bin Tun Abdul Razak (Perdana Menteri ke-6 ) dan lain-lain. Datuk Mah Hassan (Peguam Cacat Penglihatan pertama di Malaysia) juga merupakan Johannian dalam Unit Integrasi Khas Cacat Penglihatan (RESOS) St.John's Insitution.

SJI mempunyai sejarah dan tradisinya yang tersendiri dengan nilai etos sekolah yang sangat unik. Keunikan inilah menjadikan JOHANIAN dihormati dan disegani oleh kawan dan lawan sejak dahulu lagi. 

Misi saya sebagai Pengetua ingin menjadikan St. John's Institution sebagai salah sebuah sekolah terbaik  di Kuala Lumpur yang serba lengkap dengan fasiliti pembelajaran terkini dan mengamalkan pengajaran dan pembelajaran berteraskan Abad ke-21  berbentuk baru yang mencambahkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). Walaupun demikian, aspek keseimbangan insan tidak dilupakan yang mana aspek Kokurikulum dan Ko-Akademik turut diberikan perhatian dalam usaha mencapai matlamat Kemenjadian Murid seperti yang dicita-citakan semua.

Harapan saya, kita mampu melahirkan JOHANNIAN yang TERBILANG dan dikagumi, dan ST.JOHN'S INSTITUTION berdiri GAH mengulangi zaman kegemilangan seperti dahulu.

 

Sekian.

 

Manmohan Singh a/l Kartar Singh

Pengetua SJIKL